Showing posts with label Parenting. Show all posts
Showing posts with label Parenting. Show all posts

Saturday, 25 April 2015

Bekerja Sambil Mendidik Anak-Anak di Rumah

Diam tak diam, sudah 6 bulan saya berhenti kerja dan mula bekerja dari rumah. Masa sungguh pantas berlalu. Sepanjang 6 bulan ini, banyak peristiwa suka dan duka berlaku. Diuji dengan penyakit, adik-beradik, kesihatan mak ayah, sahabat, pelanggan, channel dan macam-macam lagi. Alhamdulillah. Pengalaman yang akan lebih mematangkan dan harus dilihat dari sudut yang positif. Harus diakui bekerja bersama anak-anak di rumah lebih sukar berbanding jika bekerja di pejabat. Masa bekerja juga memang tidak menentu dan kadang-kadang terpaksa mencuri masa tidur dan cuti. Jika kebiasaan bekerja di pejabat adalah dari 8 pg - 5 ptg tetapi jika berbisnes kita akan bekerja lebih dari itu. Tetapi ada kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.


Melihat anak-anak membesar depan mata sendiri seperti satu rahmat yang tidak terhingga. Tetapi keadaan ini memang menguji kesabaran kita. Mana tidaknya, dalam masa sehari sampai 2 atau 3 kali mengemas rumah disebabkan anak-anak suka menyepah barang-barang mainan atau makanan. Jika tidak di bersihkan segera pasti si kecil akan mengutip pula. Itu belum lagi jika menerima tempahan yang banyak pada satu-satu masa. Mesti pening untuk menyelesaikan semua tugasan sekaligus.

Tidak dapat dinafikan bulan pertama saya menjadi ibu yang bekerja dari rumah adalah bulan yang paling mencabar dan paling susah. Ini masa kritikal saya mengadaptasi menguruskan anak-anak sambil bekerja di rumah. Banyak yang keciciran dan memerlukan saya kental jiwa raga. Saya belajar mengawal perasaan terhadap anak-anak dan pelanggan. Saya juga nasihatkan kepada ibu-ibu yang merancang untuk bekerja dari rumah perlu bersedia mental dan fizikal kerana mendidik dan mengurus anak sambil bekerja memang mencabar. Oleh itu, kesabaran yang tinggi amat perlu sambil sentiasa berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan.

Oleh itu, saya pada kebiasaannya akan mendahulukan perkara yang penting dahulu. Mana-mana kerja yang boleh di siapkan awal sebelum si manja-manja bangun perlu disediakan dulu. Contohnya bila saya ada tempahan kek atau cupcakes saya akan tentukan betul-betul masa pelanggan untuk ambil dan saya akan adjust masa saya dengan anak-anak. Atau sebelum anak-anak bangun, ibu siap-siap mandi, sediakan sarapan dan kemas rumah.

Ok. Nanti saya sambung lagi.






Tuesday, 21 April 2015

Ibu Masih Tengok Kartun

(Gambar google)

Ibu ayah masih tengok kartun lagi? Kalau saya jawapannya, "Ya". Mana tidaknya setiap hari saya akan membenarkan anak-anak menonton kartun selama 2 jam, maka ibu pun tidak terkecuali untuk menonton bersama.

Saya lebih gemar menonton sambil bergembira bersama anak-anak, menjadikan waktu menonton waktu yang paling menyeronokkan. Tetapi macam mana nak seronok kalau asyik ulang cerita yang sama berulang kali. Ini dilema ibubapa dengan anak-anak sampaikan tiada  ruang untuk menonton berita atau rancangan kegemaran. Saya memang akan menghadkan masa anak-anak menonton kartun. Memang mereka akan mengamuk tetapi ibubapa perlu kental tambahan pula ibu yang bekerja dari rumah seperti saya. Untuk mengatasi anak tantrum dan tip-tip yang saya gunakan boleh lihat entri sebelum ini.

Walaupun setakat menonton kartun, banyak yang boleh kita jadikan panduan kepada anak-anak. Jika watak-watak kartun itu baik katakan kepada anak-anak, ini yang patut mereka lakukan. Jika banyak aksi kartun yang ganas-ganas atau tidak senonoh perlulah di jauhi oleh anak-anak. Ini kerana usia kurang 7 tahun adalah masa mereka menyerap  dengan mudah semua yang dilihat dan tersimpan di dalam memori. Jadi perlakuan-perlakuan yang tidak wajar perlu mendapat panduan daripada ibubapa.

Jadi ibubapa tidak meninggalkan anak-anak bersendirian semasa menonton kartun kecuali yang memang sudah diketahui tiada unsur-unsur negatif.


Friday, 17 April 2015

Kesan gajet sebagai pengganti ibubapa

Dunia yang semakin moden seperti sekarang tidak sah jika ibubapa tidak mempunyai gajet seperti telefon pintar, tablet, notebook, laptop dan lain-lain lagi. Pada lumrahnya, gajet ini adalah kepunyaan ibubapa untuk memudahkan urusan seharian, tetapi kita mesti tidak sampai hati jika anak asyik merenggek mahukan gajet-gajet ini untuk bermain. 

Keburukkan gajet terhadap anak.

Ibubapa sering menyogokkan anak-anak dengan gajet, supaya anak-anak mereka leka bermain dan tidak mengganggu mereka. Ini sangat sering berlaku di dalam masyarakat kita. Doktor peribadi saya juga pernah menyarankan teknik ini semasa saya diserang penyakit Bell's Palsy beberapa bulan lepas supaya anak-anak tidak membuat bising. Jika untuk jangka masa pendek, mungkin boleh tetapi akan memberi kesan yang buruk bagi jangka masa panjang.

Jika anak sering disogokkan dengan gajet di tambah pula dengan internet setiap hari, lama-kelamaan anak akan lebih cenderung bermain sendiri. Bagi mereka, gajet lebih menyeronokkan berbanding berbual dengan ibubapa. Disebabkan kesibukkan ibubapa bekerja saban hari, mereka kurang ada masa untuk berbual dengan anak-anak tentang aktiviti mereka sehari-hari.

Perkara sebegini apabila dibiarkan berpanjangan akan mengakibatkan anak berfikir bahawa peranan ibubapa adalah tempat untuk mereka mendapatkan wang dan tidak lebih daripada itu. Mereka hanya bercakap dengan ibubapa jika mereka inginkan wang dan ianya berhenti di situ. Yang lebih menakutkan lagi setelah mereka dewasa dan sudah mempunyai pendapatan mereka sendiri mereka akan mudah melupakan kedua ibubapa mereka.

Ini yang cuba kita perbaiki. Bermula seusia muda, dengarilah anak-anak yang sedang membesar walaupun kadang-kadang kita tidak faham apa yang mahu diperkatakan. Jangan sesekali biarkan gajet mengambilalih tanggungjawap sebagai ibubapa. Sentiasalah peluk dan sentuh anak-anak supaya mereka menganggap kita sebagai insan yang paling bermakna dalam hidup mereka. Inn Shaa Allah.

 .

Tuesday, 14 April 2015

Hebatnya Pelukkan Si Ayah

Teringat ceramah yang saya pernah pergi 2 tahun lepas anjuran Jabatan. Tajuknya cukup ringkas "Ibupaba Cemerlang" oleh ustaz Zahazan Mohamad, tetapi perlaksanaannya sangat sukar. Kadang-kadang kita sebagai ibubapa terlepas pandang hal-hal kecil berkaitan dengan anak-anak yang sangat memberi impak besar kepada tingkah laku mereka semasa dewasa.


Ya..semestinya setiap anak yang lahir adalah tersangat istimewa. Anugerah Allah yang tidak ternilai harganya dan menjadi idaman setiap pasangan yang berkahwin. Tugas ibubapa bukan setakat memberi kesenangan dan kemewahan kepada anak-anak tetapi lebih daripada itu. Ibubapa sering terlupa, anak-anak lebih memerlukan kasih sayang daripada kemewahan semata-mata. Saya juga tidak terlepas daripada kekhilafan ini.

Apa yang penceramah tu cuba sampaikan adalah:

Ibubapa perlu memberi perhatian sepenuhnya sebelum usianya 6 tahun. Tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak dengan pelukkan dan sentuhan. Dengan pelukkan dan sentuhan anak-anak akan merasa lebih disayangi dan menjadi anak yang berketerampilan apabila dewasa. Pelukkan siapa yang lebih hebat? Ibu ke ayah? Sebenarnya pelukkan ayah yang lebih hebat auranya. Anak yang selalu dipeluk dan bergusti dengan ayah akan menjadi anak yang lebih berjaya. Jadi, para ayah di luar sana luangkan lah masa anda untuk memeluk anak ye. Hasilnya bukan sekarang tetapi apabila mereka dewasa nanti. Tambahan pula, anak yang mendapat kasih sayang sepenuhnya tidak banyak karenah dan lebih bertanggungjawap.

Semasa ceramah, ustaz ada memanggil seorang staff sebagai contoh. Ustaz terus bersalam dan peluk staff tersebut. Terus ustaz kata, "Saudara ni kurang kasih sayang". Habis satu dewan tergelak, kami ingatkan ustaz berseloroh tetapi memang betul apa yang ustaz kata. Ustaz bertanya masa silam staff tersebut, dan dia mengaku dia kehilangan ayah sejak umurnya setahun kemudian ibunya berkahwin lain. Dia memang tidak pernah dipeluk oleh insan yang bergelar ayah selama hayatnya. Cuba bayangkan betapa berkuasanya pelukkan si ayah. Pelukkan ayah mampu membina keyakinan diri anak-anak. Jadi jangan sia-siakan. 

Saya faham, zaman sekarang kebanyakkan ibubapa bekerja 8am-5pm atau lebih. Memang penat, memang stress, sebab saya juga pernah mengalami hal yang sama. Cubalah cari mana-mana waktu yang berbaki untuk anak-anak. Contohnya, masa nak ambil anak di Taska atau pengasuh boleh je terus peluk anak-anak dulu sambil tanya aktiviti yang mereka lakukan. Atau semasa drive balik rumah, boleh bergurau senda dengan anak-anak, sambil menyanyi bersama. Curilah sedikit waktu untuk anak ye.


Ok. Sampai sini dulu. Nanti saya kongsi lagi pada yang sudi membaca.





Thursday, 9 April 2015

Cara Mengatasi Anak Tantrum di Mall


Ini selalu terjadi kepada saya dahulu kala. Selalunya disebabkan anak hendak membeli mainan. Sedangkan dekat rumah sudah bertimbun mainan yang sama. Bila kita kata "tak boleh" mulalah dia tawaf satu Mall, kemudian menangis guling-guling selagi hasratnya belum ditunaikan. Pada kebiasaannya, kebanyakkan ibubapa akan menurut sahaja kehendak anak.


Teringat bagaimana mak bapak, mendidik kami sewaktu kecil dulu. Di sebabkan kami adalah keluarga yang kurang berada barang mainan hanya pembaziran semata. Jika ada di antara kami yang mengamuk untuk membeli mainan bapak akan diam sahaja, dukung terus dan bawa ke tempat yang kurang orang untuk di denda. Akhirnya, kami adik beradik tidak pernah meminta apa-apa yang bukan keperluan.


Jadi, bagaimana dengan ibubapa zaman ini? Ibubapa manalah yang tidak marah dengan perangai anak yang sering tantrum sebegini. Rasa macam nak kena tampar budak ni. Jadi, perlu diikut kata dia atau tidak. Kalau saya jawapannya mudah "Jangan dilayan" tetapi perlaksanaannya sangat sukar. Kalau sentiasa diikut kata dan keinginan dia, akan lebih buruk tantrumnya kemudian hari, dan yang lebih teruk dia tidak akan belajar langsung untuk mengawal emosi. Pada pandangannya, hanya dengan mengamuk, hasratnya akan tercapai.


Apa yang ibubapa boleh buat dalam keadaan sebegini:


Untuk menangani anak yang sedang tantrum ini, kesabaran yang amat tinggi di perlukan. Sentiasa istiqamah dalam setiap tindakan yang diambil. Ibubapa perlu berhati batu sekejap. Kuncinya [SABAR, SABAR dan SABAR] Jangan marah anak di tempat awam, dia juga ada perasaan ada egonya, cuba bawa dia ke tempat yang kurang orang atau ke kereta sebaik-baiknya. Biarkan dia sahaja sampai dia tenang sendiri, buat-buat tidak tahu dan jangan tunjukkan sebarang respon. Setelah anak tenang bolehlah beri reason kenapa tidak boleh walaupun dia tidak mahu mendengar.


Esok atau lusa bawa lagi anak ke Mall/pasaraya, jika anak tantrum lagi, ulangi hal yang sama. Sesi sebegini memang perlukan banyak masa, kesabaran dan komitmen yang sangat tinggi. Kadang-kadang sehinggakan kami tidak sempat untuk membeli barĂ ng keperluan terus balik. Sehingga telah nampak sedikit perubahan pada tantrumnya, bolehlah ditukar daripada membeli mainan kepada makanan. Saya selalu kata kepada anak “Ibu akan beli, kalau abang beli makanan”. Ulang juga perkara yang sama. Bagi kes anak saya, hampir 6 bulan juga masa diambil untuk dia dapat mengawal emosi dan menerima kenyataan bukan setiap masa boleh dapat mainan.


Sekarang..Alhamdulillah dia sudah boleh mengawal emosi sendiri. Kalau kami lalu di depan barang mainan dia akan tengok sahaja sambil jelling-jeling ibu, kalau-kalau ibu nak offer. Bila dah besar sikit ni, dia dah cerdik, dia akan beli makanan yang ada mainan sekali. Jadi, matlamat dia untuk dapat mainan masih tercapai sebab ibu mesti akan beli kalau ianya makanan atau minuman.


Note:

· Memerlukan kesabaran yang tinggi

· Komitmen daripada kedua ibubapa

· Memerlukan masa yang lama



SEMOGA BERJAYA……


Thursday, 2 April 2015

MEMAHAMII ANAK YANG KURANG BERCAKAP (PART II)




Kali ini, saya akan beri beberapa tip bagaimana mengatasi masalah anak yang kurang bercakap. Sebenarnya banyak tip yang boleh diaplikasikan dalam kes sebegini, google jer kat internet banyak sangat. So, ibu bapa boleh pilih mana-mana yang sesuai. Tip yang saya kongsi di sini adalah yang  gunakan oleh kami dan menampakkan hasilnya. Di antaranya adalah seperti  berikut:

1)      Ibu bapa harus rajin bertanya. Nak Tanya apa? Bagaimana? Di mana?..Tanya lah apa-apa pun. Sebagai permulaan tanya la soalan yang lebih spesifik dan bagi pilihan jawapan..Contohnya balik ambil anak dari tadika, ibu bapa jangan la tanya “Buat apa hari ni”. Soalan macam ni banyak jawapan, (contoh jawapan: belajar, main, makan, besukan, gaduh, dll) ada sesetengan kanak-kanak ni tak tahu nak jawap yang mana satu. So, lebih baik tanya “seronok ke main dengan kawan-kawan hari ni?” atau “Cikgu Ana ajar ABC ke hari ni?”. Jawapan bagi soalan macam ni hanya satu dan lebih spesifik. So kanak-kanak tak perlu pikir nak jawap apa. Lama-lama kalau sudah nampak kemajuan dan dia pun sudah agak selesa, boleh la nak tanya soalan yang lebih umum.

Ingat ye, motif saya sekarang adalah untuk mengajak anak-anak untuk berbual. So, jangan stress-stress kata, nanti anak tak dapat berpikir secara versatile atau berfikiran aras tinggi kalau tanya soalan yang spesifik. Yang penting anak-anak selesa untuk bercakap.


2)      Bertanya dalam pelbagai intonasi. Ibu bapa kalau bertanya dengan anak-anak janganlah formal sangat, buat lah pelbagai intonasi supaya menarik minat anak untuk berbual. Macam pertandingan bercerita tu, kan banyak intonasi. Baru la seronok. Jangan la kita cakap dengan anak ni, macam kita cakap dengan client atau kat office. Anak pun stress nak cakap.

3)      Jadilah pendengar yang baik. Untuk anak-anak lebih aktif bercakap, ibu bapa perlulah jadi pendengar yang baik. Mendengar untuk faham apa yang cuba disampaikan oleh anak-anak ini. Dalam kes saya ni, tak faham sangat pun anak cakap apa. Cuma tunjukkan minat dan beri tumpuan masa anak bercakap. Ini sebenarnya sangat penting. Bukan anak-anak jer, kita pun yang dah besar ni akan lebih selesa bila orang mendengar dengan baik kan.  Cuba tangguhkan sebentar apa yang kita sedang buat, untuk mendengar apa yang si cilik mahu katakan. Berhentilah sekejap. Contoh: Ibu tengah basuh pinggan di dapur. Kemudian anak berlari sambal kata “Ibu, ibu, tegok ni!” cuba lah berhenti sebentar, lihat apa yang cuba di perkatakan. Anak-anak akan lebih gembira sekiranya kita memberikan perhatian kepada mereka. Seterusnya, mereka akan lebih selesa untuk berbicara.

4)      Murah Pujian. Sesiapa pun suka di puji. Jadi pujilah anak-anak sekiranya mereka melalukan kebaikkan atau sesuatu yang baru. Ini bagi meningkatkan keyakinan diri mereka. Kadang-kadang mereka tak buat apa pun, cuma tolong ibu bawakan cawan ke dapur. Berilah sedikit pujian seperti: “Bagusnya abang, tolong ibu” atau “Awesome lah adik tolong ibu”. Simple kan ayat ni tapi memberi makna yang sangat besar kepada anak-anak yang sedang membesar.

5)      Ajar mereka untuk berkomunikasi dengan orang lain. Saya suka bawa anak ke Mall. Suruh anak ambil makanan yang perlu di timbang, dan suruh dia pergi timbang sendiri. Siap bagi dialog untuk cakap apa pada kakak dekat kaunter timbang. Contohnya , abang pergi timbang makanan ni dekat kakak tu. Nanti cakap dekat kakak tu, “kakak tolong timbangkan” tau. Ajarlah selalu, mudah-mudahan akan berhasil.

Ok dulu lah ye, Ini diantara tip-tip yang saya gunakan untuk anak saya yang tak berapa nak bercakap. Tak tahulah malu ke apa. Nanti kalau ada tip yang tertinggal akan diupdate kemudian yer.


Happy reading u all..

Tuesday, 31 March 2015

Memahami Anak Yang Kurang Bercakap (Part I)






Anak-anak dilahirkan dengan pelbagai ragam dan karenah. Ada yang baru setahun sudah petah berkata-kata, seronok bukan main mak ayah, ada pulak yang lambat sikit bersuara. Ada yang bercakap tak henti-henti, tak kisah pula tu siapa yang tanya mesti dia nak balas berjela-jela2..Fuhhhhh, seronok kalau melayan budah kecil bercakap dah lah comel kan.

Tapi anak aku ni lain sikit. Umur dah 4 tahun. Cakap cuma dengan pengasuh je. Tapi itu dulu. Kalau ibu atau papa yang tanya, selalu dia tak jawap pun. Kalau orang lain tanya, lagi lah jangan harap suara emas dia nak keluar.  Susah kalau macam ni. Bukan apa, takut tetiba jadi apa-apa yang tidak diingini, kalau dia tak bercakap macam mana orang lain nak tolong. Tapi kalau bab bermain dengan kawan-kawan laju jer, tak kenal pun boleh jadi geng.  

Orang selalu akan kata. “Oooooo..biasa la kecik lagi tu, nanti dia dah besar sikit ok lah tu”. Aku pun rasa macam tu juga, tapi disebabkan dia dah masuk tadika so kena lah banyak cakap sikit. Sebab cikgu selalu complaint dia tak nak bercakap, macam mana cikgu nak monitor perkembangan dia.  Adehhhh….

Kenapa jadi macam ni?

Melalui pemerhatian aku, ini kes anak aku yer.. memang tak sama dengan anak orang lain. Mungkin disebabkan kami tak banyak masa dengan dia. Menurut banyak kajian, usia 0-6 tahun adalah masa paling kritikal bagi kanak-kanak membesar. Semua maklumat yang dipelajari, pemerhatian, perasaan dan emosi pada usia ini akan tersemat di minda mereka dan sangat-sangat mempengaruhi mereka setelah dewasa kelak. Percaya ke tidak? Terpulang kepada pertimbangan masing-masing.

Berbalik kepada anak aku ni. Dulu aku pun seorang ibu yang bekerja makan gaji. Pukul 7.30 pagi anak dah sampai Taska, kalau tiada kerja terkejut last2 minute atau meeting berjela-jela dapat la ambil dalam pukul 5.45 petang. Itu pun bos dah marah sebab balik awal. “Pegawai mana boleh balik awal”, katanya. Padahal betul lah waktu kerja 8 sampai 5. Lepas pukul 5 kami balik lah. Tapi nak buat macam mana kan namanya pun makan gaji. Ok, cuba kira berapa lama masa dia di taska..Majoriti dalam 10 jam lebih kan..Itu belum kalau ibu balik lewat, lagi lah lama dia di taska. Lepas ambil anak kita cuma ada masa 4/5 jam  utk keluarga sebelum masing-masing tidur. Tapi selalunya bila kita sampai rumah, mesti terus kemas rumah, masak, mandi, layan smartphone dan macam-macam lagi…itu realitinya.

Jadi brapa lama masa kita spend masa dengan anak untuk bertanya, bermain dan berguling dengan mereka. Tak banyak atau mungkin tiada. Semestinya, anak akan cuba buat sesuatu untuk tarik perhatian ibu bapa dengan buat maca-macam kerenah, sepah barang mainan, gaduh dengan  adik, atau ape-ape aje asal dapat perhatian.. Seperti biasa, kita mungkin akan cepat naik angin,mula la nak marah atau pukul anak sebab dah penat balik kerja. Kalau perkara macam ni berlaku berulang-ulang setiap hari..Anak pun bosan, daripada cakap atau buat apa-apa kena marah, baik diam jer.

Percaya atau tidak, anak-anak yang selalu kena pukul akan sentiasa cuba buat hal semata-mata supaya mereka di pukul lagi. Kenapa saya cakap macam ni? Sebab bagi mereka, itu sahaja perhatian yang boleh mereka dapat dari kedua ibu bapa. Lagi kerap kita pukul anak, dia akan lebih keras kepala. Ini telah aku lalui, dan diakui oleh beberapa orang ibu lain. Kadang-kadang ada sesetengah ibu bapa mengatakan anak mereka degil dan tidak mendengar kata. Tetapi pada hakikatnya mereka yang dulu tidak cuba mendengar kata-kata anak mereka sendiri. Kesian kan menagih kasih sayang sebenarnya anak ini.

Macam mana nak tangani masalah ini?

Ada caranya, yang penting ibu bapa perlu ubah cara berfikir dan gaya didikan terhadap anak-anak. PLEASE, PLEASE and PLEASE...jadikan setiap masa anak-anak anda adalah momen manis supaya mereka boleh membesar dengan baik dan menjadi seseorang yang bermanfaat dewasa kelak.

Sharing is caring!!!!




Bersambung PART II

TIP MENANGANI MASALAH ANAK KURANG BERCAKAP