Saturday, 25 April 2015

Bekerja Sambil Mendidik Anak-Anak di Rumah

Diam tak diam, sudah 6 bulan saya berhenti kerja dan mula bekerja dari rumah. Masa sungguh pantas berlalu. Sepanjang 6 bulan ini, banyak peristiwa suka dan duka berlaku. Diuji dengan penyakit, adik-beradik, kesihatan mak ayah, sahabat, pelanggan, channel dan macam-macam lagi. Alhamdulillah. Pengalaman yang akan lebih mematangkan dan harus dilihat dari sudut yang positif. Harus diakui bekerja bersama anak-anak di rumah lebih sukar berbanding jika bekerja di pejabat. Masa bekerja juga memang tidak menentu dan kadang-kadang terpaksa mencuri masa tidur dan cuti. Jika kebiasaan bekerja di pejabat adalah dari 8 pg - 5 ptg tetapi jika berbisnes kita akan bekerja lebih dari itu. Tetapi ada kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.


Melihat anak-anak membesar depan mata sendiri seperti satu rahmat yang tidak terhingga. Tetapi keadaan ini memang menguji kesabaran kita. Mana tidaknya, dalam masa sehari sampai 2 atau 3 kali mengemas rumah disebabkan anak-anak suka menyepah barang-barang mainan atau makanan. Jika tidak di bersihkan segera pasti si kecil akan mengutip pula. Itu belum lagi jika menerima tempahan yang banyak pada satu-satu masa. Mesti pening untuk menyelesaikan semua tugasan sekaligus.

Tidak dapat dinafikan bulan pertama saya menjadi ibu yang bekerja dari rumah adalah bulan yang paling mencabar dan paling susah. Ini masa kritikal saya mengadaptasi menguruskan anak-anak sambil bekerja di rumah. Banyak yang keciciran dan memerlukan saya kental jiwa raga. Saya belajar mengawal perasaan terhadap anak-anak dan pelanggan. Saya juga nasihatkan kepada ibu-ibu yang merancang untuk bekerja dari rumah perlu bersedia mental dan fizikal kerana mendidik dan mengurus anak sambil bekerja memang mencabar. Oleh itu, kesabaran yang tinggi amat perlu sambil sentiasa berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan.

Oleh itu, saya pada kebiasaannya akan mendahulukan perkara yang penting dahulu. Mana-mana kerja yang boleh di siapkan awal sebelum si manja-manja bangun perlu disediakan dulu. Contohnya bila saya ada tempahan kek atau cupcakes saya akan tentukan betul-betul masa pelanggan untuk ambil dan saya akan adjust masa saya dengan anak-anak. Atau sebelum anak-anak bangun, ibu siap-siap mandi, sediakan sarapan dan kemas rumah.

Ok. Nanti saya sambung lagi.






No comments:

Post a Comment