Saturday, 18 April 2015

Mendaki Mouth Tsukuba



Jika di Sapporo masih bersalji tebal, di southern area sudah masuk musim bunga sekitar pertengahan bulan Mac. Cuaca mulai kurang sejuk sekitar 15-20oC. Bunga yang akan mula-mula mekar mengiringi musim bunga adalah plum blossom. Ohh ya, pada masa ini distesen-stesen keretapi akan memasang bunyi kicauan burung bagi menandakan musim bunga semakin hampir.



Jika di Tsukuba ini, bolehlah pergi ke Mt. Tsukuba Plum Blossom Garden untuk menikmati keindahan plum blossom, sebelum berkembangnya bunga sakura. Untuk ke Mt. Tsukuba, boleh menaiki bas dari Stesen Bas Tsukuba Center dan akan berhenti di dua lokasi iaitu Tsukuba Shrine (40 min) dan Tsutsujigaoka (50 min)Tambang yang dikenakan adalah 700yen dewasa dan 350yen kanak-kanak jika turun di Tsukuba Shrine manakala 850yen dewasa dan 430yen kanak-kanak jika turun di Tsutsujigaoka. Sekiranya anda memerlukan penerangan yang lebih lanjut, boleh merujuk di kaunter pertanyaan yang disediakan. Tetapi di sini, orang tempatan agak sukar berbahasa Inggeris jika dibandingkan di bandar-bandar besar. Pamplet juga dalam Bahasa Jepun. Selalunya, kalau saya akan ikut kata hati atau “Follows the crowd” . Bukannya banyak tempat yang boleh dikunjungi di kaki gunung ini, mesti kebanyakkan yang turun dari bas  akan ke plum blossom garden. Semasa saya ke sini, pokok plum ini baru mula berkembang dan belum kembang sepenuhnya. Secara keseluruhnya, pokok-pokok plum telah mengeluarkan putik dan menanti untuk mekar.


Statistik kadar jenayah adalah sangat rendah di Jepun, jadi agak selamat untuk berjalan sendirian memandangkan rakan-rakan lain mempunyai urusan mereka sendiri. Tetapi rezeki saya, dipertemukan dengan 2 orang pelajar Indonesia yang sangat baik hati semasa di Stesen Bas Tsukuba Center. Jadi kami pun sama-sama ke Plum Blossom Garden dan mendaki Mt. Tsukuba.


Semperna kedatangan plum blossom ini, mereka mengadakan satu perayaan yang dinamakan “UME-Matsuri”. Sempat jugalah merasa kemeriahan perayaan Ume-matsuri ini. Di Mt Tsukuba terdapat lebih 3000 pokok plum dan lebih 100 spesis berbeza. Manakala ketinggian Mt. Tsukuba adalah 877m sahaja dari paras laut. Orang jepun sangat suka aktiviti mendaki. Kelihatan warga tua dan kanak-kanak tidak ketinggalan juga. Tetapi jika tidak minat untuk mendaki, boleh juga menggunakan  kereta kabel  dengan harga tiket 570yen dewasa dan 290 yen kanak-kanak untuk sekali perjalanan dari Tsukuba Shrine, manakala jika dari Tsutsujigaoka boleh menaiki ropeway dengan harga tiket 600 yen dewasa dan 300yen kanak-kanak. Perkhidmatan ini sangat memudahkan bagi sesiapa yang ingin melihat keindahan bandar Tsukuba dari puncah gunung Tsukuba tanpa perlu mendaki.




Saya pada mulanya memang ingin mendaki, tetapi hasrat tidak kesampaian di tengah jalan kerana memakai kasut yang sangat tidak sesuai dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Jadi saya terpaksa turun kembali seorang diri sebelum menggunakan perkhidmatan kereta kabel sahaja. Untuk perjalanan dua hala harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak 1200yen.


Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment