Saturday 25 April 2015

Bekerja Sambil Mendidik Anak-Anak di Rumah

Diam tak diam, sudah 6 bulan saya berhenti kerja dan mula bekerja dari rumah. Masa sungguh pantas berlalu. Sepanjang 6 bulan ini, banyak peristiwa suka dan duka berlaku. Diuji dengan penyakit, adik-beradik, kesihatan mak ayah, sahabat, pelanggan, channel dan macam-macam lagi. Alhamdulillah. Pengalaman yang akan lebih mematangkan dan harus dilihat dari sudut yang positif. Harus diakui bekerja bersama anak-anak di rumah lebih sukar berbanding jika bekerja di pejabat. Masa bekerja juga memang tidak menentu dan kadang-kadang terpaksa mencuri masa tidur dan cuti. Jika kebiasaan bekerja di pejabat adalah dari 8 pg - 5 ptg tetapi jika berbisnes kita akan bekerja lebih dari itu. Tetapi ada kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.


Melihat anak-anak membesar depan mata sendiri seperti satu rahmat yang tidak terhingga. Tetapi keadaan ini memang menguji kesabaran kita. Mana tidaknya, dalam masa sehari sampai 2 atau 3 kali mengemas rumah disebabkan anak-anak suka menyepah barang-barang mainan atau makanan. Jika tidak di bersihkan segera pasti si kecil akan mengutip pula. Itu belum lagi jika menerima tempahan yang banyak pada satu-satu masa. Mesti pening untuk menyelesaikan semua tugasan sekaligus.

Tidak dapat dinafikan bulan pertama saya menjadi ibu yang bekerja dari rumah adalah bulan yang paling mencabar dan paling susah. Ini masa kritikal saya mengadaptasi menguruskan anak-anak sambil bekerja di rumah. Banyak yang keciciran dan memerlukan saya kental jiwa raga. Saya belajar mengawal perasaan terhadap anak-anak dan pelanggan. Saya juga nasihatkan kepada ibu-ibu yang merancang untuk bekerja dari rumah perlu bersedia mental dan fizikal kerana mendidik dan mengurus anak sambil bekerja memang mencabar. Oleh itu, kesabaran yang tinggi amat perlu sambil sentiasa berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan.

Oleh itu, saya pada kebiasaannya akan mendahulukan perkara yang penting dahulu. Mana-mana kerja yang boleh di siapkan awal sebelum si manja-manja bangun perlu disediakan dulu. Contohnya bila saya ada tempahan kek atau cupcakes saya akan tentukan betul-betul masa pelanggan untuk ambil dan saya akan adjust masa saya dengan anak-anak. Atau sebelum anak-anak bangun, ibu siap-siap mandi, sediakan sarapan dan kemas rumah.

Ok. Nanti saya sambung lagi.






Friday 24 April 2015

Nukilan Untuk Sahabat Selamanya

Entri kali ini adalah berkaitan dengan sahabat. Mesti ramai yang ada kawan kan? Tetapi berapa ramai yang kita panggil dia sebagai sahabat. Sahabat adalah insan yang ada semasa susah senang tangis tawa. Sahabat baik sentiasa ada pada waktu kita dalam kesusahan kerana kalau setakat kawan belum tentu akan membantu bila kita susah. Kadang-kadang sahabat tidak perlu sentiasa di depan mata tetapi cukup sekadar mendoakan yang baik-baik untuk sahabatnya.

Ada sesetengah sahabat, bila berkawan baik, dan bila kita meminta tolong, dia menggap kita menggunakan mereka. Betul ke semua orang macam ni? Atau itu hanya pandangan dia sahaja. Tetapi pada saya bila bersahabat perlu bersifat telus. Sangat-sangat telus supaya tidak perlu bersakit hati dikemudian hari. Akhirnya tidak mahu bersahabat lagi. Contohnya, bila seorang sahabat memang memerlukan pertolongan dan kita tidak mahu tolong dia. Cuba katakan terus terang kepada dia, "Saya tidak boleh tolong, minta maaf". Saya pasti sahabat yang meminta tolong itu pun faham dengan situasi kita. Tetapi bila kita tak sudi untuk menolong tapi kita buat juga, akhirnya kita sendiri yang akan sakit hati dan tidak berpuas hati. Akibatnya, kita kata "dia menggunakan kita", tanpa sahabat itu tahu apa sebabnya. Mungkin pada masa kita katakan dia menggunakan kita, dia juga sedang mengalami kesulitan tertentu. Hanya Allah yang tahu.

Janganlah macam tu, sayang persahabatan yang telah dibina. Beri penjelasan yang sepatutnya supaya dia tidak membuat apa yang kita tidak suka. Kadang-kadang kita juga perlu bertolak ansur dengan sahabat. Contohnya, saya boleh bertolak ansur dengan sahabat yang agak agresif berbicara sebab saya tahu perangainya sebegitu dan tidak mungkin dia akan mendengar kata orang lain. Jadi saya akan diamkan sahaja walaupun kadang-kadang pada pandangan saya ia agak keterlaluan. Memang semua orang tidak sempurna, saya terima dia sebagai sahabat dan saya amat menghargai persahabatan tersebut.

Untuk seorang sahabat, walau dimana kau berada, doa yang baik-baik akan sentiasa mengiringimu. Semoga kau sentiasa dikelilingi insan-insan yang pandai menghargaimu. Semoga kebahagiaan itu milik mutlak mu selamanya dengan izin Allah. "Ya Allah permudahkan lah urusan sahabat ini di masa hadapan, yang mungkin aku tidak akan jumpa dia lagi". Aminnn.

Tuesday 21 April 2015

Ibu Masih Tengok Kartun

(Gambar google)

Ibu ayah masih tengok kartun lagi? Kalau saya jawapannya, "Ya". Mana tidaknya setiap hari saya akan membenarkan anak-anak menonton kartun selama 2 jam, maka ibu pun tidak terkecuali untuk menonton bersama.

Saya lebih gemar menonton sambil bergembira bersama anak-anak, menjadikan waktu menonton waktu yang paling menyeronokkan. Tetapi macam mana nak seronok kalau asyik ulang cerita yang sama berulang kali. Ini dilema ibubapa dengan anak-anak sampaikan tiada  ruang untuk menonton berita atau rancangan kegemaran. Saya memang akan menghadkan masa anak-anak menonton kartun. Memang mereka akan mengamuk tetapi ibubapa perlu kental tambahan pula ibu yang bekerja dari rumah seperti saya. Untuk mengatasi anak tantrum dan tip-tip yang saya gunakan boleh lihat entri sebelum ini.

Walaupun setakat menonton kartun, banyak yang boleh kita jadikan panduan kepada anak-anak. Jika watak-watak kartun itu baik katakan kepada anak-anak, ini yang patut mereka lakukan. Jika banyak aksi kartun yang ganas-ganas atau tidak senonoh perlulah di jauhi oleh anak-anak. Ini kerana usia kurang 7 tahun adalah masa mereka menyerap  dengan mudah semua yang dilihat dan tersimpan di dalam memori. Jadi perlakuan-perlakuan yang tidak wajar perlu mendapat panduan daripada ibubapa.

Jadi ibubapa tidak meninggalkan anak-anak bersendirian semasa menonton kartun kecuali yang memang sudah diketahui tiada unsur-unsur negatif.


Sunday 19 April 2015

Pandangan Orang Tidak Semestinya Betul

Beberapa hari lepas saya telah menonton satu rangcangan realiti di televisyen secara tidak sengaja iaitu "The China Brain". Rancangan ini adalah untuk mencari "intelectual talent" di seluruh China untuk dicungkil bakat dan diketengahkan.

Apa yang menarik minat saya adalah pada seorang remaja OKU iaitu Zhou Wei yang datang dari kawasan perkampungan kecil yang mempunyai bakat yang amat luar biasa. Dia mempunyai masalah mental tetapi Allah kurniakan mental yang amat luar biasa. Macam mana pula tu? Pelik kan! Betul dia mempunyai masalah dengan mental yang menghadkan pergaulan dan pergerakkannya tetapi dia dianugerahi Allah minda yang cergas dalam matematik dimana dia mampu menyelesaikan kira-kira yang sangat susah dengan mencongak. Hebat bukan.

Cabaran yang perlu diselesaikan oleh beliau adalah menyelesaikan soalan matematik hanya dengan menconggak tanpa menggunakan sebarang alat bantuan. Dia telah diberikan soalan matematik  yang mempunyai 14 ke 16 angka dan dengan mudah dia dapat menyelesaikannya dalam masa kurang dari 1 minit. Menitis air mata melihat kebesaran anugerah Allah pada diri remaja ini.

Zhou Wei sangat gemar bermain dengan kalkulator, belajar setakat darjah 5, tetapi Allah menganugerahi mental yang cukup luar biasa. Tetapi. memang sudah lumrahnya manusia walau dimana jua, akan menganggap insan sebegini sebagai terencat dan bodoh sehingga dia tidak mempunyai keyakinan diri dan sentiasa tunduk malu.

Apa yang tersurat pada pandangan saya setelah melihat rancanan ini?

Allah telah menarik sesuatu nikmat, tetapi Dia juga telah menggantikan dengan nikmat yang lain dari pandangan yang berbeza. Jika kebanyakkan rakan dan orang kampungnya melihat beliau sebagai orang yang terencat dan bodoh tetapi dari sudut pandangan orang lain yang boleh menghargai melihat beliau dengan perasaan kagum dan teruja yang tidak terhingga.

Oleh itu, sekiranya kita di datangi dengan pandangan orang yang negatif, biarkan sahaja, kerana itu adalah satu pandanagan sahaja kerana pandangan itu juga tidak semestinya betul. Mungkin orang lain akan melihat dari sudut pandang yang berbeza. Yang penting adalah pandangan diri kepada diri  kita sendiri kerana setiap pandangan akan menghasilkan tindakan untuk berjaya. Mudah-mudahan kita akan sentiasa berpandangan positif dari sudut yang berbeza. Orang selalu kata "Think out of the box" tetapi pada saya, kotak itu sendiri tidak perlu wujud kerana akan lebih menyesakkan dan kita akan lebih terikat. Pandanglah dari sudut yang berbeza dari kebiasaan. Pandang diri sendiri, cari kekuatan dan realisasikan dengan setiap tindakan yang diambil. 

Semoga sentiasa positif dalam apa jua keadaan.


Lempeng Daging Sesuai Untuk Anak yang Sukar Makan Sayur

Menu sarapan pagi yang seimbang sangat dititikberatkan oleh ibu-ibu moden sekarang. Jika boleh dalam satu hidangan perlu mengandungi setiap sumber makanan yang terdapat dalam piramid makanan tanpa perlu menambah bahan penambah perisa. Oleh itu, makanan yang dihidangkan lebih berkhasiat dan sihat.

Disini saya ingin berkongsi resepi lempeng daging hasil daripada tiruvasi daripada makanan jepun iaitu Takoyaki. Jika Takoyaki berbentuk bulat, manakala lempeng pula berbentuk leper sama seperti lempeng tradisional/pencake. Lempeng ini juga sesuai bagi anak-anak yang tidak suka makan sayur kerana sayur-sayuran yang digunakan dicincang halus terlebih dahulu. 


Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

Adunan Tepung

- 1 1//2 cawan tepung gandum
- 1 biji telur
- 1 cawan air
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh baking powder (Opsional) 

Bahan-bahan tambahan

- Daging yang dicincang dan digoreng dengan sedikit minyak (Ikut sukatan sendiri)
- Kobis dicincang halus (Ikut sukatan sendiri)
- Lobak merah diparut (Ikut sukatan sendiri)



Sos

- 2 sudu besar mayonis
- 1/2 sudu besar kicap manis
-1 sudu besar sos tomato.



Penyediaan Bahan

Adunan tepung - masukkan semua bahan dalam mangkuk yang besar dan kacau semua bahan tersebut sehingga sebati.




Sos - Masukkan semua bahan dan kacau sehingga sebati sahaja.


Cara memasak adalah sama seperti kta membuat lempeng.

1. Panaskan kuali (sila guna kuali yang coated), sapu sedikit minyak dan masukkan satu senduk adunan tepung.




2. Terus letak daging dan sayur-sayuran dengan segera. Kemudian ditambah lagi 1/2 senduk adunan tepung.

3. Jika lempeng sudah agak masak, bolehlah diterbalikkan dan tunggu sehingga masak.




Sudah siap.

Selamat Mencuba.

Saturday 18 April 2015

Mendaki Mouth Tsukuba



Jika di Sapporo masih bersalji tebal, di southern area sudah masuk musim bunga sekitar pertengahan bulan Mac. Cuaca mulai kurang sejuk sekitar 15-20oC. Bunga yang akan mula-mula mekar mengiringi musim bunga adalah plum blossom. Ohh ya, pada masa ini distesen-stesen keretapi akan memasang bunyi kicauan burung bagi menandakan musim bunga semakin hampir.



Jika di Tsukuba ini, bolehlah pergi ke Mt. Tsukuba Plum Blossom Garden untuk menikmati keindahan plum blossom, sebelum berkembangnya bunga sakura. Untuk ke Mt. Tsukuba, boleh menaiki bas dari Stesen Bas Tsukuba Center dan akan berhenti di dua lokasi iaitu Tsukuba Shrine (40 min) dan Tsutsujigaoka (50 min)Tambang yang dikenakan adalah 700yen dewasa dan 350yen kanak-kanak jika turun di Tsukuba Shrine manakala 850yen dewasa dan 430yen kanak-kanak jika turun di Tsutsujigaoka. Sekiranya anda memerlukan penerangan yang lebih lanjut, boleh merujuk di kaunter pertanyaan yang disediakan. Tetapi di sini, orang tempatan agak sukar berbahasa Inggeris jika dibandingkan di bandar-bandar besar. Pamplet juga dalam Bahasa Jepun. Selalunya, kalau saya akan ikut kata hati atau “Follows the crowd” . Bukannya banyak tempat yang boleh dikunjungi di kaki gunung ini, mesti kebanyakkan yang turun dari bas  akan ke plum blossom garden. Semasa saya ke sini, pokok plum ini baru mula berkembang dan belum kembang sepenuhnya. Secara keseluruhnya, pokok-pokok plum telah mengeluarkan putik dan menanti untuk mekar.


Statistik kadar jenayah adalah sangat rendah di Jepun, jadi agak selamat untuk berjalan sendirian memandangkan rakan-rakan lain mempunyai urusan mereka sendiri. Tetapi rezeki saya, dipertemukan dengan 2 orang pelajar Indonesia yang sangat baik hati semasa di Stesen Bas Tsukuba Center. Jadi kami pun sama-sama ke Plum Blossom Garden dan mendaki Mt. Tsukuba.


Semperna kedatangan plum blossom ini, mereka mengadakan satu perayaan yang dinamakan “UME-Matsuri”. Sempat jugalah merasa kemeriahan perayaan Ume-matsuri ini. Di Mt Tsukuba terdapat lebih 3000 pokok plum dan lebih 100 spesis berbeza. Manakala ketinggian Mt. Tsukuba adalah 877m sahaja dari paras laut. Orang jepun sangat suka aktiviti mendaki. Kelihatan warga tua dan kanak-kanak tidak ketinggalan juga. Tetapi jika tidak minat untuk mendaki, boleh juga menggunakan  kereta kabel  dengan harga tiket 570yen dewasa dan 290 yen kanak-kanak untuk sekali perjalanan dari Tsukuba Shrine, manakala jika dari Tsutsujigaoka boleh menaiki ropeway dengan harga tiket 600 yen dewasa dan 300yen kanak-kanak. Perkhidmatan ini sangat memudahkan bagi sesiapa yang ingin melihat keindahan bandar Tsukuba dari puncah gunung Tsukuba tanpa perlu mendaki.




Saya pada mulanya memang ingin mendaki, tetapi hasrat tidak kesampaian di tengah jalan kerana memakai kasut yang sangat tidak sesuai dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Jadi saya terpaksa turun kembali seorang diri sebelum menggunakan perkhidmatan kereta kabel sahaja. Untuk perjalanan dua hala harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak 1200yen.


Alhamdulillah.

Friday 17 April 2015

Kesan gajet sebagai pengganti ibubapa

Dunia yang semakin moden seperti sekarang tidak sah jika ibubapa tidak mempunyai gajet seperti telefon pintar, tablet, notebook, laptop dan lain-lain lagi. Pada lumrahnya, gajet ini adalah kepunyaan ibubapa untuk memudahkan urusan seharian, tetapi kita mesti tidak sampai hati jika anak asyik merenggek mahukan gajet-gajet ini untuk bermain. 

Keburukkan gajet terhadap anak.

Ibubapa sering menyogokkan anak-anak dengan gajet, supaya anak-anak mereka leka bermain dan tidak mengganggu mereka. Ini sangat sering berlaku di dalam masyarakat kita. Doktor peribadi saya juga pernah menyarankan teknik ini semasa saya diserang penyakit Bell's Palsy beberapa bulan lepas supaya anak-anak tidak membuat bising. Jika untuk jangka masa pendek, mungkin boleh tetapi akan memberi kesan yang buruk bagi jangka masa panjang.

Jika anak sering disogokkan dengan gajet di tambah pula dengan internet setiap hari, lama-kelamaan anak akan lebih cenderung bermain sendiri. Bagi mereka, gajet lebih menyeronokkan berbanding berbual dengan ibubapa. Disebabkan kesibukkan ibubapa bekerja saban hari, mereka kurang ada masa untuk berbual dengan anak-anak tentang aktiviti mereka sehari-hari.

Perkara sebegini apabila dibiarkan berpanjangan akan mengakibatkan anak berfikir bahawa peranan ibubapa adalah tempat untuk mereka mendapatkan wang dan tidak lebih daripada itu. Mereka hanya bercakap dengan ibubapa jika mereka inginkan wang dan ianya berhenti di situ. Yang lebih menakutkan lagi setelah mereka dewasa dan sudah mempunyai pendapatan mereka sendiri mereka akan mudah melupakan kedua ibubapa mereka.

Ini yang cuba kita perbaiki. Bermula seusia muda, dengarilah anak-anak yang sedang membesar walaupun kadang-kadang kita tidak faham apa yang mahu diperkatakan. Jangan sesekali biarkan gajet mengambilalih tanggungjawap sebagai ibubapa. Sentiasalah peluk dan sentuh anak-anak supaya mereka menganggap kita sebagai insan yang paling bermakna dalam hidup mereka. Inn Shaa Allah.

 .